Al-Quran terkandung pelbagai hikmah supaya manusia mudah terima hidayah
TAUFIK dan hidayah adalah anugerah Allah ke atas hamba-Nya. Muslim wajib meyakini pintu hidayah sentiasa terbuka di sisi Allah untuk sekalian makhluk-Nya. Hidayah Allah apabila ‘mengetuk pintu hati’ seseorang, nescaya pasti menjadi lembut dan senang menerima nasihat, teguran serta bimbingan atas dasar agama.
Kisah Saidina Umar yang terkenal dengan sifat bengis sebelum memeluk Islam, bertukar watak sebagai pembela Islam yang agung selepas mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Itulah anugerah besar yang tidak dapat dihitung nilainya selepas mendapat hidayah daripada Allah.
Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW untuk panduan seluruh umatnya supaya mereka lembut hati tatkala membacanya, mendengar dan memahaminya. Semua itu terkandung hikmah supaya manusia mudah mendapat hidayah Allah.
Firman Allah bermaksud:
“Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (mengenai benarnya dan indahnya) yang berulang (keterangannya dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
“Kitab suci itu hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Surah az-Zumar, ayat 23)
Imam al-Mawardy dalam tafsirnya menyatakan orang mendengar bacaan al-Quran atau membacanya, tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah dalam tiga keadaan :
Apabila mereka membacanya atau mendengarkan bacaan ayat suci al-Quran serta memahami maksud ayat itu yang memberi gambaran janji neraka bagi mereka yang ingkar pada perintah Allah dan khabar gembira dengan janji syurga bagi mereka yang patuh pada perintah-Nya (Imam As-Suddy)
Terpahat dalam hati perasaan khauf (takut) dan raja’ (pengharapan) yang tinggi kepada Allah.
Tersemat dalam lubuk hati mereka keagungan al-Quran dan lembut hati mereka ketika membacanya.
Hari ini, umat Islam dipaparkan dengan kezaliman yang berlaku terhadap saudara mereka. Penindasan dan keganasan boleh diungkapkan dengan pepatah, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Doa umat Islam di seluruh dunia dengan iringan tangisan adalah pengorbanan kecil berbanding kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin. Menangis adalah cara yang boleh melembutkan jiwa dan hati.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu masuk (melihat) suatu kaum yang ditimpa azab, melainkan engkau menangis (melihat keadaan mereka), apabila engkau tidak mampu menangis, maka hendaklah engkau berpura-pura menangis sebagai kebimbangan (pengajaran) di atas kamu nanti akan ditimpakan musibah (azab yang sama) yang menimpa mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Runtunan emosi perlu diiringi doa supaya Allah sentiasa mencampakkan kemanisan iman dan kesabaran yang terus segar dan harum menghadapi bencana dicipta musuh. Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan kesabaran menghadapi kesulitan dan kepayahan angkara musuh.
Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam apabila mendapat bala dan seksaan daripada orang lain supaya berdoa.
Sabda Baginda yang bermaksud:
“Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Bin Mas’ud katanya, aku masih terbayang Rasulullah SAW menceritakan mengenai seorang nabi daripada nabi sebelum Rasulullah yang diseksa (dipukul) oleh kaumnya sehingga berlumuran darah. Dia mengesat darah di mukanya sambil membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Umat Islam juga diberi peringatan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada malapetaka dan kesusahan dalam kehidupan seharian. Allah akan menghapuskan dosa seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sumber dari http://nurjeehan.hadithuna.com/
No comments:
Post a Comment